Wednesday, July 22, 2009

Sejarah Sekolah Gunong Semanggol



Bermula dengan nama SEKOLAH MELAYU LAKI-LAKI GUNONG SEMANGGOL didirikan dalam tahun 1896, di atas tanah Lot 3010 di sebelah Pekan Gunong Semanggol. Bangunan didaftar PWD Kerian 344. Keluasan 60’ x 25 ‘ mengandungi 2 bilik darjah. Keramaian murid ialah 70 orang.

Tahun 1926, bangunan ini terbakar berpunca daripada kebakaran rumah kedai di sebelahnya. Pada tahun 1927, didirikan semula atas tapak yang sama, dengan 3 bilik darjah yang memuatkan seramai 75 orang murid. Bangunan ini dijadikan Sekolah Pusat ( disebut Sekolah Agung ketika itu ).

Pada tahun 1939, mendapat bangunan tambahan bagi menampung bilangan murid yang bertambah. Didirikan di atas tanah berbukit sedikit, Lot 5023 dengan keluasan 75’ x 25’ menampung murid seramai 115 orang.

Pada 21.05.1957, sekolah ini ditukar nama SEKOLAH UMUM LAKI-LAKI GUNONG SEMANGGOL. Nama ini tidak kekal , dan pada 1.10.1959,ditukar nama kepada SEKOLAH KEBANGSAAN LAKI-LAKI GUNONG SEMANGGOL.

Mengikut catatan sejarah, Sekolah Perempuan Gunong Semanggol didirikan pada tahun 1905, daftar PWD 341 atas Lot. No: 2671. Kelasnya hingga darjah 3 sahaja. Untuk melanjutkan pelajaran ke darjah 4, terpaksa belajar di Sekolah Melayu Laki-Laki.

Pada 01.04.1960, Sekolah Melayu Laki-laki dan Sekolah Melayu Perempuan dicantumkan. Bilangan murid semakin bertambah.

Pada tahun 1967, sebuah lagi bangunan sekolah ( Cawangan I sekarang) didirikan di Jalan Kubu Gajah, bagi menampung bilangan murid yang bertambah ramai. Bangunan ini didaftarkan dengan: Daftar JKR 865 atas Lot No 534 dengan keluasan bangunan 60’ x 20’.

Pada tahun 1969, Sekolah Melayu Perempuan dirobohkan kerana condong dan merbahaya. 10 tahun kemudian, atas tapak tersebut didirikan 3 buah rumah guru.

Pada tahun 1974, sebuah bangunan dua tingkat ( Sekolah Agung sekarang) didirikan sebelah cawangan I bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah tahun demi tahun.

Sungguhpun beberapa bangunan telah didirikan, ia masih tidak dapat menampung bilangan murid yang bertambah tahun demi tahun. Oleh itu, pihak pentadbiran sekolah terpaksa mewujudkan sesi pagi dan petang. Persekolahan dua sesi itu telah berjalan sejak tahun 1952 lagi hinggalah ke tahun 1994. Pada tahun 1994, sebuah lagi bangunan 2 tingkat didirikan bersebelahan bangunan 2 tingkat yang sedia ada. Dengan adanya bangunan baru ini, persekolahan berjalan dalam satu sesi sahaja.